Malaysia ketuai pendekatan kesihatan awam untuk hepatitis C dengan inisiatif baru bagi meningkatkan diagnosis & rawatan

  • Yayasan Dianogstik Baru Inovatif (FIND) dan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) menandatangani Memorandum Persefahaman untuk bekerjasama dalam kajian dan pembangunan suatu strategi inovatif bagi ujian diagnostik Hepatitis C
  • Inisiatif yang dijalankan merupakan kesinambungan perkongsian dengan Drugs for Neglected Disease initiative (DNDi), dengan kerjasama Kementerian Kesihantan Malaysia, menggariskan usaha kerajaan yang terkemuka di dunia untuk menangani penyakit ini

English Chinese Tamil

PUTRAJAYA, 6 Ogos 2018 – Yayasan Diagnostik Baru Inovatif (FIND) dan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan strategi ujian diagnostik Hep C yang inovatif.

CRM ialah sebuah syarikat bukan berorientasikan keuntungan yang dimiliki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Usaha ini menggariskan kepentingan penyelidikan dan pembangunan dalam usaha perintis kerajaan untuk menangani penyakit ini. Inisiatif ini dijalankan sebagai kesinambungan perkongsian dengan Drugs for Neglected Disease initiative (DNDi) dan merupakan sebahagian daripada projek FIND yang lebih besar yang dikenali sebagai Hepatitis C Elimination through Access to Diagnostics (HEAD-Start) dan disokong oleh Unitaid. Malaysia adalah satu-satunya negara berpendapatan pertengahan yang terlibat dalam projek ini.

“Ia adalah penghormatan besar untuk menjadi sebahagian daripada usaha penyelidikan dan pembangunan bersama-sama dengan FIND, yang akhirnya akan membawa kepada pengesanan Hepatitis C yang lebih cekap dan lebih awal. Selaras dengan usaha kami untuk menjadi sebuah organisasi yang dipercayai di dunia dan mengambil bahagian dalam penyelidikan yang berkaitan dengan rakyat Malaysia, kami akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat bersama dengan rakan kongsi kami” kata Dr Akhmal Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Penyelidikan Klinikal Malaysia.

Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membuat penilaian pra-kelayakan terhadap jenis ujian HCV yang berbeza, saringan populasi yang terdedah kepada bahaya dan sukar dicapai masih suatu cabaran akibat perkhidmatan kesihatan yang terpusat, sehingga sukar untuk mengenalipasti pesakit yang memerlukan penjagaan dan rawatan. FIND akan mendemonstrasikan kemungkinan menggunakan ujian diagnostik pantas (RDTs) dalam pusat-pusat kesihatan utama yang terdesentralisasi, serta menghulurkan bantuan teknikal kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menyokong projek tersebut.

“Pengenalan RDT dan laluan diagnostik yang lebih mudah merupakan langkah penting dalam meningkatkan penjagaan pesakit hepatitis C,” kata Catharina Boehme, Ketua Pegawai Eksekutif FIND. “MOU dengan CRM membolehkan kami bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan memastikan bukti yang dijana dapat digunakan untuk memaklumi dasar negara supaya lebih ramai orang dapat mengetahui status mereka dan mendapat penjagaan dan rawatan.”

Kesemua pesakit yang disaringi semasa menjalani ujian diagnostik pra-kelayakan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan disahkan mempunyai HCV aktif (viraemia) akan mendapat penjagaan. Rawatan akan diberikan:

  • sama ada sebagai sebahagian daripada percubaan klinikal DNDi yang berterusan, yang ditaja bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan direka untuk menilai keberkesanan dan keselamatan rejimen rawatan alternatif baru yang menggabungkan sofosbuvir dengan ubat penyelidikan ravidasvir. Keputusan peringkat pertama percubaan yang diterbitkan pada bulan April 2018 menunjukkan gabungan ubat ini adalah selamat dan berkesan, dengan kadar penyembuhan yang amat tinggi untuk pesakit, termasuk kes-kes yang sukar dirawat;1
  • atau sebagai program HCV negara Malaysia, yang, selepas suatu strategi rawatan bercita-cita tinggi untuk mengatasi kos rawatan HCV yang tinggi di negara ini, kini menawarkan rawatan hepatitis C percuma (sofosbuvir / daclatasvir) di 21 hospital kerajaan.

Memorandum Persefahaman ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CRM Dr Akhmal Yusof dan Ketua Pegawai Akses FIND Encik Zachary Katz, dan disaksikan oleh Menteri Kesihatan YB Dr. Dzulkefly Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan YBhg Datuk Dr Noor Hisham, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal) YBhg. Datuk Dr Shahnaz Murad, Pengarah Pusat Penyelidikan Klinikal Negara (CRC) YBhg Dato Dr Goh Pik Pin dan Ketua Unit HCV & HIV, FIND Dr. Francesco Marinucci.

# # #

Mengenai Hepatitis C
HCV ialah salah satu daripada penyakit berjangkit yang paling biasa di dunia, biasanya dijangkiti melalui penjagaan kesihatan yang kurang selamat dan penggunaan suntikan dadah. Di seluruh dunia, lebih daripada 71 juta orang dijangkiti secara kronik, lebih daripada 80% daripadanya tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMICs) – tetapi hanya satu dari lima orang ketahui dirinya menghidap penyakit ini.2 Sekitar 400,000 orang mati setiap tahun, dan kadar kematian semakin meningkat sehingga ia menjadi keutamaan kesihatan global: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan matlamat untuk menghapuskan virus hepatitis menjelang 2030.3,4 Di Malaysia, beban penyakit HCV adalah tinggi dan dijangka meningkat secara mantap sepanjang dekad yang akan datang, dan dijangka akan menyebabkan 63,900 kematian yang berkaitan dengan HCV menjelang 2039.5

Mengenai CRM
Ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2012, CRM wujud untuk meningkatkan penyelesaian masalah kesihatan global untuk masa depan yang lebih cerah dengan menyediakan sokongan penyelidikan klinikal yang pantas dan boleh dipercayai untuk kajian kualiti. Dengan pemahaman CRM terhadap landskap penyelidikan klinikal tempatan dengan standard operasi antarabangsa, ditambah dengan sokongan asas kementerian-kementerian kerajaan, kami mempunyai kelebihan yang tiada tandingan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bermula dari peringkat awal dan memperkembang sehinggi menjadi produk akhir, demi menyampaikan rawatan yang lebih baik dan peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.clinicalresearch.my

Mengenai FIND
FIND ditubuhkan pada tahun 2003 sebagai sebuah organisasi bukan berorientasikan keuntungan peringkat global yang didedikasikan untuk mempercepatkan pembangunan, penilaian dan penyampaian ujian diagnostik yang berkualiti tinggi untuk penyakit-penyakit berkaitan dengan kemiskinan, termasuk malaria, tuberkulosis, HIV/AIDS, penyakit tidur, hepatitis C, leishmaniasis, penyakit Chagas, ulser buruli, demam dan penyakit bukan malarial yang berpotensi menyebabkan wabak, seperti Ebola. FIND telah bekerjasama dalam penyampaian 20 alat diagnostik baru dan mewujudkan persekitaran yang positif melalui penyediaan bank spesimen, pembangunan reagen dan keterlihatan yang lebih tinggi di pasaran. FIND juga membantu memudahkan akses kepada diagnostik baru melalui implementasi, jaminan kualiti dan kerja pengukuhan makmal. FIND mempunyai hampir 200 rakan kongsi di seluruh dunia, termasuk institusi penyelidikan dan makmal, kementerian kesihatan dan program kawalan penyakit negara, rakan komersial, organisasi dua hala dan pelbagai hala, terutamanya WHO, dan laman percubaan klinikal.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

CRM: Encik Syed Hamzah, Pembangunan Perniagaan
T: +6(03) 7960 5153 (ext. 121)
hamzah@clinicalresearch.my

FIND: Sarah-Jane Loveday, Ketua Komunikasi
T: +41 (0) 22 710 27 88
M: +41 (0) 79 431 62 44
media@finddx.org


1 DNDi press release, 12 April 2018. https://www.dndi.org/2018/media-centre/press-releases/new-affordable-hepatitis-c-combination-treatment-shows-97-cure-rate/ (accessed 18 July 2018)
2 World Health Organization. Global hepatitis report 2017. www.who.int/hepatitis/publications/global-hepatitis-report2017/en/ (accessed 27 June 2018)
3 World Health Organization. Disease burden and mortality estimates, 2000–2015. http://www.who.int/healthinfo/global_burden_disease/estimates/en/index1.html (accessed 27 June 2018)
4 World Health Organization. Combating hepatitis B and C to reach elimination by 2030, May 2016. http://apps.who.int/iris/bitstream/handle/10665/206453/WHO_HIV_2016.04_eng.pdf;jsessionid=0B0881916BBDF9EB2B47D4B004DB7969?sequence=1 (accessed 5 July 2018)
5 Raihan R, et al. Euroasian J Hepato-Gastroenterol 2017;7(1):65–67

Gambar foto

Duduk kiri ke kanan: Dr Akhmal Yusof , Chief Executive Officer, CRM, and Mr. Zachary Katz, Chief Access Officer, FIND
Berdiri kiri ke kanan: YBhg Dato Dr Goh Pik Pin, Director of National Clinical Research Centre (CRC); YBhg Datuk Dr Noor Hisham, Director-General of Health; YB Dr Ahmad Dzulkefly, Minister of Health, Malaysia; Dr Francesco Marinucci, Head of HCV & HIV, FIND; YBhg Datuk Dr Murad Shahnaz, Deputy Director-General of Health (Research & Technical Support); Dr Jacqueline Lo Ying-Ru, Head of Mission and WHO Representative to Malaysia, Brunei Darussalam and Singapore

CRM FIND signing MoU